comscore
Tumpuan :
Jenayah

Judi dalam talian; 14 warga asing, 3 warga tempatan ditahan

Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket judi dalam talian apabila menahan 17 individu di sebuah premis di Jalan Kerinchi, Bangsar di sini malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua mereka ditahan dalam operasi pada jam 11 malam tadi terdiri daripada 14 lelaki rakyat China dan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an.

“Sasaran utama perjudian dalam talian ini adalah kepada rakyat luar dari Malaysia dengan erti kata lain sasaran mereka yang kita kenalpasti setakat ini adalah negara Brazil kerana kita tengok waktu masa operasinya antara jam 10 malam hingga 10 pagi sahaja,” katanya.

Ruslin berkata pihaknya terpaksa memecahkan pintu masuk premis itu selepas penghuni premis enggan memberikan kerjasama membuka pintu masuk.

Mengulas lanjut, Ruslin memaklumkan operasi itu dijalankan berdasarkan aduan orang awam dan risikan yang dibuat selama sebulan.

Kesemua warga China yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dipercayai kerana masih dipegang oleh pihak sindiket.

Manakala kesemua tiga lelaki tempatan itu pula disyaki bekerja sebagai penjaga premis kepada sindiket itu dan turut ditahan bagi membantu siasatan serta dikenakan saman.

16 unit komputer riba, 10 unit skrin komputer, 45 unit telefon bimbit dan 2 unit tablet dirampas.

Kesemua warga asing yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Imigresen 1959 / 63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Loading...
Terkini