comscore
Tumpuan :
Jenayah

“Kami mahu keadilan untuk Mohd Hafiz” 

ALOR SETAR: Keluarga lelaki yang maut selepas didakwa diserang anggota polis ketika ditahan di Langkawi Isnin lalu, menuntut pembelaan di atas kematian mangsa.

Adik mangsa, Salwana Salleh, meminta pihak polis mengemukakan penjelasan berhubung kejadian yang tular di media sosial itu.

Salwana mengesahkan kematian abangnya, Mohd Hafiz Salleh di Facebook, kelmarin.

Beliau berkata, jenazah Mohd Hafiz dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini, untuk proses bedah siasat sebelum dibawa kembali ke Langkawi untuk urusan pengebumian.

“Kami mahu hak keadilan untuk Mohd Hafiz. Doakan abang saya, doakan keadilan untuk arwah,” katanya dalam muat naik di Facebook hari ini.

Rakaman video yang tular itu memaparkan sekurang-kurangnya tujuh anggota polis dilihat menggunakan kekerasan ketika menahan seorang lelaki, dipercayai Mohd Hafiz.

Seorang daripada angggota polis dilihat menendang bahagian belakang lelaki terbabit, sebelum menggari tangan mangsa.

Rakaman sama turut memaparkan Mohd Hafiz ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), sebelum mayatnya diuruskan bagi proses pengebumian.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook dikenali Putera Aizo, mendakwa mangsa meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dua hari dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Dakwanya, kejadian itu berlaku ketika serbuan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi di stesen minyak di Ayer Hangat, pada 29 Januari lalu.

“Pergelutan antara mangsa dan polis berlaku selama beberapa minit, mangsa cedera parah di kepala dan bahagian lain dan terpaksa dimasukkan ke ICU kerana koma.

“Arwah menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Februari lalu selepas dua hari bertarung nyawa. Dia dikebumikan di Kampung Ewa, Langkawi. Al-Fatihah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini