comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kanak-kanak maut dipercayai didera bapa tiri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai akibat didera bapa tirinya di rumah mereka dekat Taman Sri Ramal, Kajang, kelmarin.

Kanak-kanak terbabit dikejarkan ke Hospital Serdang (HS) dengan ambulans selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata ambulans membawa mangsa tiba diJabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah HS kira-kira jam 11.33 malam, kelmarin namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Menurut beliau, pihak polis menerima satu aduan berkait kematian mangsa pada jam 12.39 tengah malam tadi daripada pihak hospital.

“Hasil bedah siasat dijalankan hari ini mendapati punca kematian mangsa dipercayai berpunca daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan ususnya pecah.

“Selain itu terdapat juga beberapa kesan lebam pada bahagian punggung, buah dada serta lengan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat diterima itu, polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang juga bapa tiri mangsa di perkarangan HS, kira-kira jam 2.25 petang, tadi.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku ada memukul mangsa dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas rumah mereka.

“Suspek mendakwa dia bertindak sedemikian kerana marahkan mangsa yang dikatakan sering membuat masalah semasa ibunya tiada di rumah,” katanya.

Mohd Zaid berkata, polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kita menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis.

“Mereka boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini