comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kapal Kargo Berlabuh Tanpa Kebenaran Ditahan Di Perairan Selangor

FOTO : APMM

PETALING JAYA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kargo, MV ISEACO FORTUNE di kedudukan kira-kira 14.5 batu nautika barat daya Sekinchan, Selangor.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, kapal tersebut ditahan sekitar jam 12.35 tengah malam oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam rutin OP EHSAN di perairan negeri itu.

Kedudukan mencurigakan kapal itu dikesan melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang sejurus mendapat maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor dan Jabatan Laut Wilayah Tengah.

Bot ronda maritim kemudian diatur gerak ke perairan Sekinchan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, kapal yang berdaftar di Panama itu dikendalikan oleh 19 kru lelaki warga China termasuk nakhoda berusia antara 26 hingga 52 tahun.

Kesemua kru kapal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun nakhodanya gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Jabatan Laut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 491 B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dua kru kapal kargo tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Loading...
Terkini