comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kastam Kedah rampas minuman keras, rokok bernilai lebih RM350,000

Antara minuman keras yang dirampas Kastam Kedah dalam serbuan pertama di sebuah premis tidak bernombor di Lembah Klang pada 29 Ogos lalu. FOTO: Ihsan Kastam

ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 7,000 liter minuman keras dan satu juta ketul rokok bernilai lebih RM350,000 dengan anggaran cukai lebih RM1 juta dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di kawasan Lembah Klang di Selangor pada 29 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd Latiff, berkata tiada tangkapan dilakukan pada serbuan diadakan pada jam 1.05 pagi oleh Cawangan Penguatkuasa Bukit Kayu Hitam JKDM Kedah itu memandangkan premis terbabit tidak berpenghuni dan tidak berkunci ketika serbuan dilakukan.

“Barangan rampasan bernilai RM353,284 membabitkan anggaran cukai RM1,048,134.41 dibawa pulang ke Pejabat Penguatkuasa Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Sindiket itu menggunakan lokasi tidak bernombor itu sebagai kemudahan penyimpanan, mungkin untuk transit sebelum pengedaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih tinggi, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Sementara itu, pada serbuan berasingan, Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar, JKDM Kedah merampas 5,476 botol minuman keras bernilai RM161,474 dari sebuah premis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 2 September lalu.

Nor Izah berkata, seorang warga asing berusia 40-an ditahan dalam serbuan jam 10 malam itu untuk siasatan lanjut

Beliau berkata, minuman keras yang disita berjumlah 2,120.60 liter membabitkan cukai dianggarkan RM285,676.

“Hasil pemeriksaan mendapati minuman keras itu mengandungi setem cukai yang mencurigakan, disyaki palsu.

“Semua barangan terbabit dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Alor Star untuk siasatan lanjut.

“Pekerja warga asing itu diambil bekerja di premis itu, dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan pemiliknya,” katanya.

Nor Izah berkata, setem palsu itu bertujuan untuk mengelirukan pengguna supaya mempercayai minuman keras itu dikenakan cukai dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini