comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kastam rampas 11 RX-Z seludup dari Siam bernilai lebih RM40,000

 

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 11 buah motosikal terpakai seludup bernilai RM42,113.50 termasuk cukai di Bukit Bunga, Tanah Merah di sini.

Pemangku Pengarah JKDM Kelantan, Koh Joo Kai berkata, rampasan pada 26 September lalu itu, dibuat susulan kejayaan anggotanya menggagalkan cubaan menyeludup sebuah motosikal Yamaha RXZ dalam kejadian di pangkalan haram Bukit Bunga pada 24 September.

Pemangku Pengarah JKDM Kelantan, Koh Joo Kai (dua kiri) bersama pegawainya memeriksa nombor pendaftaran 11 buah motosikal terpakai dirampas yang seludup bernilai RM42,113.50 termasuk cukai di Bukit Bunga, Tanah Merah, pada 26 September lalu. – Foto: NSTP

Katanya, dalam tempoh dua hari, pihaknya membuat risikan sebelum menyerbu sebuah bengkel yang dijadikan tempat penyimpanan motosikal terpakai dari negara jiran.

“Hasil siasatan mendapati kesemua motosikal terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran Malaysia, selain turut diubah suai dipercayai bagi memenuhi permintaan pelanggan tempatan.

“Pihak kami masih meneruskan siasatan bagi mengesan pemilik motosikal serta pemilik bengkel bagai mengenal pasti Orang Yang Disyaki (OYDS) yang terbabit dalam penyeludupan motosikal terpakai ini.

“Mereka menggunakan modus operandi dengan membawa motosikal melalui laluan sungai menggunakan bot atau sampan ke pangkalan haram sebelum dibawa ke bengkel,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Koh berkata, kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

“Pesalah juga boleh dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Kes penyeludupan motosikal terpakai bukanlah yang pertama diperoleh pihak JKDM Kelantan, namun begitu rampasan kali ini agak besar dipercayai kerana mula mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat motosikal tempatan,” katanya.

Menurutnya, JKDM mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dan pihaknya memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Jelasnya, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol kastam di nombor 1-800-88-8855 untuk sebarang maklumat.

Loading...
Terkini