comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kegiatan seludup diesel RM1.25 juta sehari tumpas 

Aedy Fadly menunjukkan tangki kenderaan yang di ubah suai untuk menyeludup diesel. – FOTO: NSTP

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kegiatan kenderaan asing melakukan penyeludupan diesel rentas sempadan membabitkan nilai kerugian mencecah RM1.25 juta sehari.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, kenderaan asing terbabit dikesan berulang-alik melalui sempadan Malaysia-Thailand sehingga lima kali sehari bagi melakukan kegiatan itu.

Katanya, ia dipercayai diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan bagi membolehkan diesel diseludup dalam kuantiti banyak.

“Pergerakan bagi satu trip perjalanan itu saja boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan sekitar anggaran RM250,000 berdasarkan kapasiti diesel yang dibawa.

“Jika kenderaan berulang-alik lima kali, ia boleh menyebabkan ketirisan hasil sehingga RM1.25 juta kepada negara,” katanya pada sidang media di Depoh Tahanan Kenderaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata, berikutan itu pihaknya melancarkan ‘Op Khas Tangki’ bermula Rabu lalu, dan setakat ini 18 kenderaan asing termasuk treler berjaya ditahan.

“Dalam ‘Ops Khas Tangki’ ini, kita fokus kepada kenderaan dari Thailand termasuk persendirian dan perdagangan.

“Hasilnya kita menyita dua treler, lima pikap dan kereta Toyota Corolla di ICQS Bukit Kayu Hitam, manakala 10 lagi kenderaan disyaki terbabit penyeludupan ditahan JPJ Sungai Petani,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini