comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kejam !! 11 Bangkai Penyu Hijau Ditemukan Dilapah di Pulau Bum-Bum

Bangkai 11 ekor penyu hijau yang telah dilapah ditemukan di Kampung Amboh-Amboh, Pulau Bum-Bum, Semporna Jumaat lepas.

Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bangkai haiwan dilindungi itu ditemukan pada 9.41 pagi dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh tiga kakitangan JHL Sabah dan lima anggota Tiger Platun Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Pada 2 Okt (Sabtu), operasi serbuan di kawasan ‘panas’ itu (Kampung Amboh-Amboh) sekali lagi dijalankan untuk menangkap penjenayah yang disyaki. Namun, tiada suspek dapat ditangkap dan operasi mengesan penjenayah terbabit masih dijalankan.

“Di samping itu, pasukan OBK turut merampas dua karung putih yang disyaki berisi daging penyu, 11 keping plastron (bahagian bawah tempurung penyu), sebatang cangkuk (hook), dapur gas, kuali, pisau, kapak dan batu asah di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Menurut JHL Sabah, pada 6 Julai lepas, pasukan OBK telah berjaya menangkap seorang pelaku bersama 12 keping plastron, 39 keping sisik marginal (bahagian atas tempurung penyu) dan 4.8 kg lemak penyu.

Menurut kenyataan itu pelaku tersebut telah dihadapkan ke mahkamah dan dihukum empat tahun penjara serta denda RM150,000.

Jenayah hidupan liar melibatkan penyu laut yang berlaku di Semporna biasanya dilakukan masyarakat Bajau Laut, atau dikenali sebagai Pala’u, yang tidak mempunyai kad pengenalan, menurut kenyataan itu.

“Ini menyebabkan kesukaran untuk menahan mereka yang bertanggungjawab kerana komuniti itu menggunakan perahu kecil yang mudah mendarat di pulau,”  menurut kenuytaan itu.

Justeru, JHL Sabah memohon kerjasama penduduk setempat agar melaporkan sebarang aktiviti pemburuan penyu atau mempunyai maklumat mengenai aktiviti haram itu agar jenayah hidupan laut di perairan daerah Semporna dapat dibanteras. – BERNAMA

Loading...
Terkini