HOME / Jenayah

Kejam! Perut Penyu Ditoreh

Seekor penyu Agar betina dewasa ditemui mati dengan kesan torehan pada perut dipercayai dibunuh nelayan warga asing di Pulau Kapas, Marang, siang tadi.

Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas, Mohd. Farith Rezza Isa berkata, bangkai haiwan bersaiz 73 sentimeter panjang itu ditemukan terapung oleh pengusaha resort pulau peranginan berkenaan pada pukul 2.50 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati perut itu ditoreh manakala lehernya dikelar.

Pihaknya percaya penyu itu baru dibunuh di perairan negara kerana kesemua organ dalaman masih dalam keadaan baik, malah keseluruhan bahagian badannya tidak menunjukkan kesan rekahan termasuk karapas.

Sementara itu, hasil perbincangan dan siasatan yang dibuat dengan beberapa penyelidik penyu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati, pihaknya tidak menolak motif pembunuhan reptilia itu mungkin disebabkan aktiviti pengambilan telur menerusi kaedah membelah perut.