
IPOH: Seorang kelindan lori ditahan bersama sejumlah dadah bernilai RM220,000 di kawasan parkir di Meru di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan jam 11.20 pagi bersama Perodua Bezza dinaikinya ketika menunggu pelanggan.
Katanya, pemeriksaan polis menemukan 44 bungkus plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin dianggar seberat 19.246 kilogram (kg) dalam kenderaan suspek.
“Dadah dirampas dianggar bernilai RM220,000 manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod kesalahan lampau kes dadah dan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Zulkafli berkata, suspek dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak Oktober tahun lalu.
Katanya, dadah yang dirampas disyaki untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh 40,000 penagih.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman enam hari sehingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkafli memaklumkan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak merampas dadah bernilai RM9.795 juta sepanjang 2024 membabitkan tangkapan seramai 20,458 orang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.