comscore
Tumpuan :
Jenayah

Keluarga Elly Idzlianizar tuntut keadilan buat bekas pelumba GP negara

Oleh: Selwam Arjunan

KANGAR: Keluarga bekas pelumba GP negara, Elly Idzlianizar Elias, yang maut ditetak dalam insiden pergaduhan di Jalan Datuk Ali, di sini, pada malam Selasa lepas, menuntut keadilan atas kematiannya.

Adik mangsa, Elly Idzliaikmal Elias, 38, berkata, keluarganya berharap pihak berkuasa membawa pelaku yang bertanggungjawab atas kematian abangnya ke muka pengadilan dan mendapatkan hukuman setimpal.

“Arwah abang saya dibunuh, saya jadi tak sampai akal fikiran.

“Kami harap pihak polis jalankan siasatan dengan telus. Kami, pihak keluarga, minta keadilan, minta betul-betul keadilan untuk arwah,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di rumahnya di Kangar, petang tadi.

Elly Idzlianizar meninggal dunia akibat kecederaan parah dengan 12 kesan tetakan pada tangan dan tubuhnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12 tengah malam Rabu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, setelah mengalami pendarahan teruk.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan telah selamat dikebumikan pada 10 malam semalam (Khamis) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Ujung Batu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum pergelutan menggunakan sebilah pedang sepanjang 112 sentimeter, yang berakhir dengan tragedi berdarah tersebut.

“Motif pergaduhan masih dalam siasatan, dan kami juga sedang mengesan pemilik pedang yang digunakan dalam kejadian ini,” tambahnya.

Polis telah menahan tiga suspek, masing-masing berusia 28, 31 dan 51 tahun di beberapa lokasi berasingan di Perlis.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini