comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kerana roti, banduan maut dibelasah rakan sepenjara

Oleh Baharudin Mohamed

MELAKA: Akibat dituduh mencuri roti, seorang banduan maut dipercayai dibelasah rakan sepenjaranya di Penjara Sungai Udang di sini petang semalam.

Pergaduhan melibatkan suspek warga tempatan berusia 34 tahun dan mangsa lelaki Indonesia 47 tahun itu disedari kira-kira jam 2.15 petang oleh warden penjara yang membuat kawalan di Bilik 48 Zon A.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan, suspek dan mangsa serta lima yang lain ditempatkan di sel sama, namun ketika kejadian berlaku hanya mereka berdua berada di lokasi, manakala banduan lain melakukan aktiviti bebas.

Katanya, pergaduhan dipercayai berlaku selepas suspek mengesyaki mangsa mengambil bahagian roti miliknya yang dibekalkan pihak penjara sehingga menyebabkannya kelaparan.

“Kira-kira jam 2 petang, suspek dikatakan baru sahaja selesai sembahyang dan didatangi mangsa.

“Mereka kemudian berbual dan suspek bertanya kepada mangsa adakah dia telah mengambil bahagian rotinya, namun banduan Indonesia itu menafikan sambil meninggikan suara menyebabkan suspek naik marah lalu memukulnya,” katanya dalam satu kenyataan am di sini, hari ini.

Menurut Christopher, seorang banduan warga Nigeria merupakan saksi utama yang melihat suspek memukul mangsa dan telah cuba meleraikan pergaduhan itu.

“Hasil soal siasat suspek mengaku menumbuk bahagian sebelah mata dan pipi kanan mangsa sehingga dia terhantuk ke dinding.

“Setelah mangsa jatuh, suspek memijak bahagian paha lelaki itu menggunakan tumitnya dan menendang dada mangsa beberapa kali sebelum mengangkat dan menghumbannya di kawasan bilik air,” katanya.

Loading...
Terkini