comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kereta idaman tak dapat, lebih RM800,000 duit kerani am lesap

Foto hiasan.

SIBU: Hasrat seorang kerani am wanita memiliki sebuah kereta mewah malah rugi RM850,901 akibat ditipu sindiket penipuan kenderaan terpakai tidak wujud di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, wanita berusia 50-an itu berurusan dengan suspek melalui aplikasi ‘WhatsApp’ pada Julai lalu selepas tertarik dengan iklan penjualan kenderaan terpakai dari Singapura.

“Mangsa berminat untuk membeli Lexus RX300 Luxury Sunroof 2019 pada harga RM37,500 dan perlu membayar ansuran bulanan RM625 bagi tempoh lima tahun.

“Bermula 14 Julai hingga 18 Ogos lalu, mangsa membuat pembayaran RM850,901 melalui 170 kali transaksi ke 14 akaun bank bagi pelbagai tujuan pembayaran,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kata beliau, kononnya, antara pembayaran yang perlu dibuat ialah pembayaran untuk urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lesen Import (AP), cukai kastam, bayaran perkhidmatan kontena dan sebagainya.

“Mangsa juga diugut akan dikenakan tindakan undang-undang kerana telah membuat urusan pembelian kereta terpakai secara haram oleh ejen penjualan,” katanya.

Menurut beliau, untuk melunaskan pembayaran itu, mangsa menggunakan wang simpanan selain pinjaman daripada rakan dan syarikat pemberi wang pinjaman berlesen,” katanya.

Zulkipli berkata, laporan berhubung kes itu diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kelmarin.

Orang ramai dinasihati supaya melakukan semakan sebelum melakukan sebarang pembelian kenderaan di atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini