comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kereta Lama Terbiar Di Parkir Jadi Sasaran

Foto: IPD Ampang Jaya

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

AMPANG JAYA: Dua lelaki ditahan ketika sedang meleraikan komponen kenderaan dipercayai dicuri di kawasan rumah pangsa di Taman Bukit Sentosa, Rawang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyasarkan kenderaan lama yang diletakkan di kawasan sunyi.

Katanya, tangkapan dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun itu dilakukan susulan satu laporan dibuat mangsa pada 11 Ogos lalu mengenai kehilangan kereta jenis Proton Wira miliknya.

“Kami menerima satu laporan sebuah kereta Proton Wira telah hilang disyaki dicuri pada hari Ahad jam 8.30 pagi”

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menahan kedua-dua suspek ketika leka meleraikan kenderaan yang disyaki dicuri dengan nombor pendaftaran hadapan tiada, manakala nombor casis diganggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa mendakwa kenderaan miliknya diletakkan di kawasan sebuah flat di Jalan Pandan Indah pada jam 9 malam.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut menemui serangkai anak kunci yang digunakan untuk mencuri kenderaan.

Anggaran kerugian kira-kira sebanyak RM5000 dan semua barang yang dirampas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk membantu siasatan.

“Semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes dadah dan masih dikehendaki manakala seorang lagi tiada rekod jenayah,” jelasnya.

Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan.

Loading...
Terkini