comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes Amang Seksual Selebriti,Dua Lagi Laporan Polis Diterima

SEREMBAN: Dua lagi laporan polis dibuat ke atas seorang selebriti yang juga penceramah bebas berkait jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki bawah umur, selepas empat laporan terdahulu dibuat di Selangor.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid, berkata dua laporan berkenaan dibuat di daerah Seremban pada bulan ini oleh dua mangsa berusia 17 tahun.

“Buat masa ini, siasatan selari dijalankan bersama pihak Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor mengikut seksyen kesalahan seperti di Selangor (Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017).

Polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dikemukakan pula ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.

“Perbuatan seumpama itu salah di bawah undang-undang negara dan boleh diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Polis Selangor menerima empat laporan berkaitan kes terbabit, iaitu dua dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan masing-masing satu laporan di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dipetik berkata, laporan itu masing-masing dibuat empat individu berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal lelaki berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati selebriti berkenaan dipercayai berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

Susulan laporan polis yang dibuat, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan suspek pada jam 4 petang Khamis lalu yang kemudian direman selama enam hari sehingga 14 September untuk siasatan. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini