Tumpuan :
Jenayah

Kes bunuh dalam peti sejuk: Kecederaan pada dada akibat objek tumpul punca awal kematian warga emas

Peti sejuk beku yang dirampas oleh polis dalam kejadian kes bunuh emak dan mayat mangsa disimpan dalam peti sejuk beku di Taman OUG. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Laporan awal kes seorang warga emas dibunuh anak kandungnya sebelum mayat disimpan dalam peti sejuk beku mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada mangsa.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh kejadian pembunuhan warga emas berusia 80-an yang ditemui dalam peti sejuk beku di rumah teres dua tingkat di Taman OUG, Jalan Klang Lama, di sini, 12 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan awal mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada kesan objek tumpul atau ‘chest injuries due to blunt trauma’.

“Mayat mangsa dituntut oleh suaminya pada jam 9 pagi tadi di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terpisah sejak sekian lama sebelum mereka membawa haluan berasingan.

“Suaminya yang juga waris mangsa sebelum ini menetap di Manjung, Perak, hanya mengetahui kejadian ini melalui laporan yang disiarkan media, sebelum dia tampil membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Rusdi berkata, pihaknya bagaimanapun setakat ini masih belum dapat mengesahkan jangka masa kematian mangsa sehingga laporan penuh bedah siasat dikeluarkan pegawai perubatan Jabatan Forensik.

Mengulas mengenai suspek, Rusdi berkata suspek yang juga anak lelaki mangsa berusia 53 tahun, kini telah selesai mendapatkan rawatan di PPUM akibat masalah kesihatan kronik sejak dia diberkas.

“Suspek telah selesai menjalani rawatan di PPUM pada jam 6 petang semalam (20 November) dan kini sedang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Dia kini ditahan reman sehingga 26 November ini,” katanya.

Setakat ini pihak polis sudah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu melengkapkan siasatan.

Pada 12 November lalu, media melaporkan seorang lelaki yang juga suspek menghubungi talian MERS 999 mendakwa mengalami masalah kesihatan ketika berada di rumahnya selain mendakwa telah membunuh ibunya di kediaman sama tiga tahun lalu.

Kejadian itu terungkai selepas pihak polis dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian suspek terbaring di sebelah peti sejuk beku yang menempatkan mayat mangsa.

Suspek juga turut mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.

Sepasukan polis telah menahan suspek di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke PPUM untuk bedah siasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini