comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis akan mohon sambung reman ibu bapa mangsa

PETALING JAYA: Polis akan memohon sambungan reman bagi ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin esok bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan membuat permohonan untuk menyambung reman esok selepas tempoh reman tamat.

Ditanya sama ada sudah ada pengakuan atau belum, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Esok kita akan pohon untuk menyambung reman,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu peguam ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin memaklumkan beliau tidak dibenarkan bertemu mereka yang kini dalam tahanan reman.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu, Fahmi Abd Moin dilaporkan berkata, beliau sudah memohon jasa baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertemu namun tidak dibenarkan.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 9 malam 6 Disember lalu.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini