comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes culik, bunuh ahli perniagaan mungkin ada kaitan hutang

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kes penculikan dan pembunuhan membabitkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, mempunyai kaitan dengan hutang perniagaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata setakat ini proses siasatan masih berjalan dan pihaknya akan menentukan jika ada lagi suspek yang akan dikesan bagi membantu siasatan

“Laporan bedah siasat mangsa masih belum diperoleh. Proses bedah siasat itu akan disambung jam 2.45 petang esok.

“Kes itu memang disiasat mengikut Seksyen 3(3) Akta Culik dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sejak hari pertama mayat dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan 11 lelaki, termasuk seorang warga Bangladesh, berusia antara 20 hingga 56 tahun.

“Dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman pada 28 Jun hingga 2 Julai dan disambung reman dari 3 hingga 9 Julai ini.

“Seorang lagi suspek direman bermula 28 Jun hingga 1 Julai dan kemudian disambung reman 2 hingga 6 Julai ini. Seorang lagi pula direman 27 Jun hingga 1 Julai dan kemudian disambung direman dalam tempoh sama,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, mangsa yang juga seorang pemaju hartanah berusia 55 tahun, diculik ketika berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi 10 Jun lalu.

Selepas hampir 18 hari diculik, mayatnya ditemui dalam belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, Rawang, kira-kira jam 9 pagi Sabtu lalu.

Loading...
Terkini