comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kes curi motosikal: 6 pelajar ditahan

 


KEMAMAN: Lima pelajar pusat pengajian tahfiz dan seorang pelajar sekolah harian yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Abyan ditahan polis selepas terbabit dalam kejadian mencuri motosikal sejak tiga bulan lalu di sekitar bandar ini.

Kesemua pelajar terbabit berumur 14 hingga 17  tahun itu ditahan pada awal pagi semalam sekaligus dapat menyelesaikan enam kes kecurian motosikal yang dilaporkan sepanjang bulan Februari hingga Mei.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah , Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD , Kemaman, Asisten Superintendan Polis Sayed Mohd Faizal Sayed Baharom berkata kesemua suspek ditahan pada jam 4.00 pagi.

Menurutnya,kesemua remaja terbabit ditahan selepas polis sebelum itu menahan dua daripada mereka di Kampung Binjai dan hasil pemeriksaan terhadap dua motosikal yang dinaiki mendapati ianya telah dilaporkan hilang pada bulan April dan Mei.

Hasil siasatan lanjut mendapati kumpulan terbabit menjalankan aktiviti curi motosikal mereka pada awal pagi dan menyasarkan motosikal yang ditinggalkan dengan kuncinya tidak dicabut di sekitar Bandar Chukai.

“Mereka menggunakan motosikal yang dicuri untuk pergi bersiar-siar, membeli makanan, sebelum meninggalkan semula motosikal itu di tepi jalan”, katanya.

Siasatan turut mendapati kumpulan remaja terbabit tidak terlibat dalam aktiviti meleraikan komponen motosikal curi untuk dijual.

Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 379A kanun keseksaan kerana mencuri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini