comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes dera tahfiz: 7 laporan polis diterima, pelaku direman Disember lalu

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

PETALING JAYA: Tujuh laporan polis diterima setakat ini berhubung kes dera melibatkan sebuah madrasah tahfiz di Selangor.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Buletin TV3 memaklumkan, suspek telah ditahan dan direman pada Disember lalu.

“Mengenai kes tahfiz itu, polis Selangor ada buka satu kertas siasatan dibawah Akta Kanak-Kanak 2001. Kes itu dalam siasatan.

“Pada Disember lalu, kita tahan (suspek) dan reman sebelum kita jamin dia sementara menunggu keputusan. Kertas siasatan masih dibuka untuk melengkapkan kertas siasatan beberapa tindakan,” jelasnya.

Ujarnya, tujuh laporan yang diterima setakat ini selain penderaan, juga dilaporkan mengenai fahaman ajaran meragukan yang dijalankan di madrasah berkenaan.

“Laporan polis daripada pihak didera tiada, dari orang awam yang mengetahui perkara itu ada, keseluruhan laporan di selangor ada tujuh laporan..berkenaan dengan penderaan, fahaman ajaran yang meragukan dan tahfiz itu ada tauliah atau tidak yang mencurigakan,”katanya lagi.

Tambah Hussien lagi, suspek berusia 40 an merupakan warden dan tenaga pengajar di madrasah terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi secara ringkas memaklumkan kes itu masih dalam siasatan.

“Dalam proses siasatan…selepas dapat laporan penuh, JAIS akan ambil langkah yang sesuai.

“Kerana perlantikan guru (di madrasah terbabit) dibuat oleh sekolah dengan syarat-syarat tertentu,” katanya.

Kes dera itu mula tular di laman sosial apabila video berkenaan dikongsi oleh netizen.

Lapor media, salah seorang pelajar dipukul dan dipaksa tidur di dalam tandas oleh tenaga pengajar madrasah tahfiz terbabit yang dikatakan tidak berdaftar di Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini