comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes pukul pelajar sekolah: 7 anggota Geng 24 ditahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tujuh remaja dipercayai anggota kumpulan haram Geng 24 ditahan selepas disyaki memukul dan memaksa dua pelajar sekolah untuk menyertai kumpulan mereka dalam dua kejadian berasingan di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kesemua suspek ditahan susulan dua laporan polis yang diterima berkait kejadian yang dilaporkan berlaku pada 16 dan 17 Mei lalu.

Katanya, laporan pertama pada 16 Mei diterima pada jam 12 tengah hari daripada pelajar lelaki berusia 13 tahun.

“Kejadian berlaku di satu lokasi di Bandar Sungai Long yang mana mangsa ditahan sekumpulan lelaki terdiri dari pelajar sekolah yang sama kerana berselisih faham mengenai seorang rakan mangsa yang dicari mereka namun gagal ditemui.

“Mangsa ‘disoal siasat’ serta dipukul oleh dua suspek dengan menggunakan kaki dan tangan serta senjata sebatang besi. Akibatnya, mangsa cedera di bahagian kepala dan kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan polis kedua pula, katanya diterima daripada pelajar lelaki berusia 14 tahun pada jam 1 pagi, 17 Mei lalu.

“Ketika mangsa sedang makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran makan di kawasan Bandar Mahkota Cheras, tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki mengajak mangsa untuk menyertai kumpulan haram iaitu Geng 24.

“Mangsa menolak ajakan itu menyebabkan tiga daripada anggota kumpulan itu memukul mangsa dan rakannya dengan menggunakan kerusi plastik yang berada di dalam restoran sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya.

Dalam kejadian itu, katanya mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan tangan.

“Susulan dua laporan polis yang diterima itu, kita berjaya menahan tujuh lelaki tempatan berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun yang disyaki terbabit dalam kedua-dua kejadian terbabit.

“Kita percaya kedua-dua kes ini membabitkan suspek daripada kumpulan yang sama,” katanya yang memaklumkan tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.Berikutan itu, katanya polis membuka dua kertas siasatan berkait kes ini secara berasingan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, salah satu kertas siasatan kes ini telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah mendapat arahan tuduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan ke atas dua suspek.

“Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada jam 9 pagi tadi, manakala satu lagi kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 atau Inspektor Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini