Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PETALING JAYA: Seorang lagi suspek kes samun di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir Semenyih, 31 Julai lalu ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 45 tahun yang berasal dari Sabah itu direman enam hari sehingga 17 September.
“Suspek merupakan penganggur yang mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.
“Setakat ini disahkan kesemua lima orang suspek yang terlibat telah ditahan dan empat daripada mereka telah dituduh di mahkamah sebelum ini di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat ) 1971. ” katanya menerusi satu kenyataan siang tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Kampung Pasir, Semenyih diburu polis pada 31 Julai lalu.
Ia susulan tiga lelaki yang juga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun sebuah rumah.
Pada 1 Ogos, dua anggota polis berusia 32 dan 35 tahun yang bertugas sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan di Batalion 19, PGA Cheras, 12.20 tengah malam.
Susulan itu, seorang lagi suspek yang juga anggota PGA berusia 24 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, jam 1 tengah hari.
Seorang suspek orang awam turut menyerah diri di IPD Kajang pada 1.40 pagi 2 Ogos dan direman sehingga 8 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.