comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ketua Geng Alif Buntal Sempat Buat 13 Jenayah Ketika Lolos Parol

Gambar hiasan.

BESUT: Ketua ‘Geng Alif Buntal’ yang melarikan diri daripada perintah pengawasan parol pada bulan lepas, sempat melakukan 13 kes jenayah termasuk mencuri enam buah motosikal, sebelum dia berjaya diberkas semula Ahad lepas.

Lelaki berusia 22 tahun berasal dari Kuala Besut itu, sebelum ini menjalani proses parol di Damansara, Kuala Lumpur, namun melarikan diri pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata suspek kemudiannya berjaya ditahan semula di tapak Pasar Borong Kampung Lampu, Kuala Besut pada 2 pagi.

“Suspek dipercayai melakukan kes curi enam motosikal dan enam kes pecah rumah dengan nilai kerugian kira-kira RM59,000, serta satu kes kekerasan jenayah sepanjang tempoh kurang dua bulan dia diburu kerana melarikan diri dari parol.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kegiatan tersebut bersama dua lagi rakannya yang masih bebas di sekitar daerah Besut dan Setiu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata susulan penangkapan suspek beberapa siri serbuan dan rampasan telah dilakukan termasuk di sekitar Pasir Putih, Kelantan dan pihaknya juga sudah mengenal pasti dua rakan suspek dikenali sebagai Mat Chah dan Mat Daha.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menemui dan merampas semula enam buah motosikal jenis Honda EX5, termasuk sebuah motosikal yang kali terakhir dicurinya di rumah seorang guru di Taman Alor Lintang pada 14 Sept.

“Polis turut merampas tiga unit komputer riba dan dua telefon bimbit yang dipercayai dicuri dari rumah mangsa,” katanya yang memberitahu suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau.

Abdul Rozak berkata modus operandi suspek ialah memecah masuk rumah atau mencuri motosikal ketika penghuni tiada di rumah dan menggunakan pemutar skru untuk menghidupkan motosikal.

Beliau berkata polis akan memohon sambungan reman terhadap suspek yang akan tamat hari ini, bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A kanun sama kerana curi kenderaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini