comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘King’ dilarikan ketika beli sarapan

Foto hiasan

KUALA SELANGOR: Tindakan seorang petani yang meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup ketika membeli sarapan mengundang padah apabila kenderaannya dilarikan penjenayah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi, lelaki berusia 41 tahun itu berada di warung nasi lemak berhadapan sebuah restoran di pekan Ijok, Bestari Jaya, di sini dan meletakkan Perodua Myvi di hadapannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah di kawasan perumahan dan kedai lot dan mangsa meletakkan kereta pada jarak lima meter dari kawasan dia membeli makanan.

“Lelaki itu sedar selepas kenderaannya yang hilang berundur dengan pantas dan lari ke arah jalan besar (arah Ijok).

“Perodua Myvi itu adalah milik isteri mangsa dan digunakan sejak 2007,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, suspek disyaki seorang lelaki hasil daripada maklumat orang awam.

“Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu namun tidak menghala ke lokasi kejadian.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Loading...
Terkini