Tumpuan :
Jenayah

Konon pulangan lumayan, rupanya rugi RM1.1 juta

KUALA LUMPUR: Tertarik dengan tawaran skim pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan, seorang pengurus syarikat menanggung kerugian RM1.1 juta selepas ditipu sindiket berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 54 tahun terpedaya dengan iklan yang ditawarkan di Facebook mengenai pelaburan Arcadia Equity Co Limited.

“Dalam kes ini, mangsa mengalami kerugian RM1.1 juta dan membuat sebanyak 21 kali transaksi ke sembilan akaun berbeza.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis sudah berulang kali menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap penipuan pelaburan.

“Terutama penipuan yang dibuat menerusi media sosial supaya tidak menjadi mangsa di kemudian hari,” katanya.

Loading...
Terkini