comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPDN Negeri Sembilan rampas 3,000 liter diesel bersubsidi

KPDN Negeri Sembilan melakukan serbuan di sebuah stesen minyak di Rasah dan menyita lori yang disyaki digunakan bagi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi. Foto Ihsan KPDN Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan melalui Ops Tiris merampas 3,000 liter minyak diesel disyaki bersubsidi dianggarkan bernilai RM6,450 di stesen minyak Jalan Rasah, di sini lewat petang semalam.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan, berkata turut disita ialah sebuah lori, satu unit tangki kapasiti 1,000 liter dan dua unit pam elektrik yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM16,650.

“Serbuan dilakukan empat anggota penguat kuasa itu dibuat hasil dari risikan selepas mengesan pergerakan mencurigakan sebuah lori sedang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan.

“Anggota serbuan telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah dan menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, dua kertas siasatan telah dibuka ke atas pemandu lori dan pemilik stesen minyak untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti serta rantaian pengedaran minyak diesel terbabit.

“Maklumat atau aduan berkaitan kes penyelewengan boleh disalurkan kepada KPDN sama ada melalui Whatsapp ke 019- 848 8000 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN serta pusat panggilan 1-800-886-800 dan portal e-aduan.kpdn.gov.my,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini