comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPDN Selangor tumpaskan kegiatan seleweng minyak paket, gas LPG

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SHAH ALAM: Menjadikan tempat parkir lori dan kontena di kawasan sebuah gudang sebagai transit untuk kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Itu modus operandi kegiatan disyaki sindiket, yang memindahkan minyak masak paket terbabit sebelum dijual ke pasaran gelap.

Namun kegiatan itu terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, minggu lalu.

Menurut Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey, serbuan jam 11.20 malam pada 1 Februari itu membabitkan 13 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Selangor dan Pahang susulan risikan sejak sebulan lalu.

“Premis ini disyaki telah menjalankan aktiviti memindahkan barang kawalan minyak masak paket 1KG subsidi tanpa lesen sah.

“Semasa serbuan dijalankan anggota penguatkuasa KPDN Selangor telah menemui sebuah lori bonded membawa muatan sebanyak 400 karton ataupun bersamaan 6800 paket minyak masak poly beg 1KG.” katanya dalam sidang media di Pejabat KPDN Selangor, hari ini.

Hasil serbuan mendapati premis tidak mempunyai lesen atau permit atau kebenaran menyimpan minyak masak.

Katanya, kesemua minyak masak paket berkenaan bersama lori dan dokumen dirampas dengan keseluruhan rampasan bernilai RM67,000.

Beliau berkata, siasatan juga masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang bagi kegiatan yang telah aktif sejak enam bulan lalu itu.

Dalam operasi berlainan, KPDN Selangor turut berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah premis di Bandar Rawang, Selangor, 29 Januari lalu.

Katanya, ketika serbuan dilakukan tiga lelaki ditahan bersama dua buah lori dengan muatan tong LPG kosong dan berisi dipercayai untuk tujuan pengedaran.

“Sindiket ini telah membeli gas 14KG bersubsidi terus dari lori-lori penghantar gas LPG di kawasan sekitar Rawang.

“Tong-tong gas tersebut seterusnya dipindahkan, dibawa ke stor haram dan gas subsidi ini dipindahkan ke tong LPG 50KG untuk kegunaan industri.”

Katanya, tong LPG 50KG itu dipercayai akan dijual semula kepada pihak industri dengan harga lebih rendah berbanding harga sebenar pasaran.

Dalam serbuan berkenaan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun turut ditahan.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan peralatan bernilai RM103,411.

Loading...
Terkini