comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPDN tahan seorang lelaki, rampas 10,000 liter diesel bersubsidi

FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas menahan seorang lelaki dan merampas 10,000 liter bahan api itu, semalam.

Pengarahnya, S.Jegan berkata menerusi risikan sejak beberapa minggu lepas pihaknya telah mengesan seorang lelaki, dalam keadaan mencurigakan, sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori di sebuah stesen minyak di sini pada 7 malam.

“Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati terdapat dua unit nozel diesel telah dimasukkan ke dalam tangki asal lori itu bagi proses pengisian namun pemeriksaan lanjut telah mengesan satu unit tangki fiber tambahan yang diubah suai di bahagian belakang kenderaan itu.

“Tangki tambahan itu ditutupi kanvas dan kami turut menemui satu unit tangki pam motor dan hos dalam lori itu yang dipercayai digunakan untuk sedutan diesel daripada tangki asal ke tangki fiber tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya siasatan lanjut mendapati lelaki tempatan berusia 30-an itu yang merupakan pemandu lori tersebut akan membeli diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak sekitar negeri ini, sebelum bahan api berkenaan dihantar kepada sindiket terbabit.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai menerima upah berdasarkan jumlah diesel yang dibelinya dan aktif sejak sebulan lepas.

S.Jegan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan beliau turut mengingatkan mana-mana individu atau pengusaha stesen minyak agar mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam kegiatan penyelewengan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini