comscore
Tumpuan :
Jenayah

Laporan khas ‘Pemain Bola Terancam?’ di 999 malam ini

 

PETALING JAYA: Tragedi serangan terhadap tiga pemain bola sepak dalam tempoh seminggu pada awal bulan ini menggemparkan negara dan turut mendapat liputan media antarabangsa.

Kronologi bermula apabila pemain pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang dan disamun oleh dua individu pada Khamis (2 Mei), disusuli serangan terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim yang disimbah sejenis larutan asid pada Ahad, (5 Mei) dan cermin kereta Safiq Rahim dipecahkan pada Selasa, (7 Mei).

Walaupun mempunyai modus operandi yang hampir sama, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa ketiga-tiga kes terbabit tiada kaitan antara satu sama lain.

Rentetan rantaian kes ancaman keselamatan yang berlaku mensasarkan kepada tiga pemain bola sepak berkenaan, motif sebenar suspek serta identiti dalang kejadian terus menjadi tanda tanya.

Penyokong bola sepak, Nasaruddin Lihem yang ditemu bual 999 berkata insiden penganiayaan yang berlaku mampu merencatkan kemajuan arena bola sepak tanah air jika tidak diselesaikan dengan segera.

“Rentetan hasil daripada peristiwa itu dia ada implikasi, impak dia atas kejadian lain sebab selaku pemain pun kita pun takut juga, adakah keselamatan kita sentiasa terjamin sebab kita tidak tahu siapa-siapa boleh terkena atas insiden yang seperti ini.

“Bukan untuk Selangor saja, saya percaya pihak pengurusan tentu akan menjalankan kerjasama dengan pihak keselamatan sememangnya pihak Polis Diraja Malaysia, bagi mempertingkatkan atas keselamatan pemain-pemain dan juga pegawai pegawai setiap pasukan” katanya.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, PDRM akan terus memperketat kawalan keselamatan terhadap pasukan serta pemain bola sepak dalam negara khususnya membabitkan perlawanan di Selangor.

“Polis memberi jaminan keselamatan adalah terjamin. Kita juga ada menyediakan kawalan keselamatan di tempat latihan pasukan bola sepak, jadi kawalan keselamatan bukan terhad kepada sewaktu permainan atau perlawanan di stadium, tetapi juga di tempat latihan,” katanya ketika dihubungi 999.

Sehingga kini pihak polis giat mengesan kesemua suspek bagi ketiga-tiga kes ancaman keselamatan yang berlaku dan masih tiada sebarang perbicaraan kes dijalankan.

Tonton laporan khas ‘Pemain Bola Terancam?’, serangan Balai Polis Ulu Tiram dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.

Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini