comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lari tinggal kereta penuh muatan petrol seludup

FOTO: Ihsan KPDN

TUMPAT: Penyeludup bertindak meninggalkan kereta yang dipenuhi muatan petrol di tepi jalan di Kampung Jubakar Darat, di sini sebelum melarikan diri selepas dikejar pihak berkuasa.

Dalam Op Ketirisan Barang Kawalan yang dijalankan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat jam 7 pagi semalam, kereta jenis Proton Wira itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pihak berkuasa mengekori.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil risikan yang dibuat mendapati lelaki terbabit membuat pengisian di beberapa stesen minyak di Kota Bharu sebelum membawa ke mana-mana pangkalan haram di Pengkalan Kubor, di sini.

“Selepas menyedari diekori, pemandu kereta itu segera memberhentikan kenderaannya dan keluar sebelum melarikan diri.

“Pemeriksaan dalam kereta itu menjumpai 500 liter petrol yang diisi dalam sejumlah tong plastik di bahagian penumpang hadapan dan belakang serta dalam bonet,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, pengisian dibuat awal pagi serta di stesen minyak luar dari Tumpat adalah untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini