comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Leave Group’ jika masuk kumpulan sembang pelaburan Telegram – Bukit Aman

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur yang mendedahkan keuntungan demi keuntungan dalam kumpulan atau ‘grup’ menggunakan aplikasi Telegram adalah tidak wujud, sebaliknya ia hanya taktik ‘scammer’ untuk menjerat mangsa yang dimasukkan dalam kumpulan sembang itu.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pelaburan Bersindiket/Kad Elektronik/Lain-Lain Jenayah), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Koh Seok Keng berkata mereka yang berinteraksi dalam kumpulan itu sebenarnya sebahagian daripada anggota sindiket penipuan pelaburan yang bertujuan untuk menarik mangsa supaya menjadi pelabur.

Katanya, ahli kumpulan itu menyamar sebagai pelabur atau orang awam hanya untuk mengaburi mata mangsa.

“Contohnya, anda dimasukkan dalam ‘grup’ itu dan dalam kumpulan itu ada lima orang yang bercakap sama sendiri menceritakan mengenai pelaburan dan keuntungan.

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. – FOTO: NSTP

Mereka itu bukanlah pelabur tetapi ‘scammer’ yang cuba menipu anda.

“Mereka cuba untuk memperlihatkan situasi seperti keadaan anda, menjadi seperti salah seorang anda yang melabur dan mendapat keuntungan besar. Oleh demikian, jika anda dimasukkan dalam ‘grup’ Telegram ini, segeralah untuk keluar,” katanya dalam Program #JanganKenaScam bersama media tempatan, di sini hari ini.

Seok Keng mendedahkan jumlah mangsa yang berusia antara 31 hingga 40 tahun adalah paling ramai yang terjerat dengan skim pelaburan yang tidak wujud pada tahun lalu, iaitu seramai 1,359 mangsa dengan jumlah kerugian RM69.2 juta.

Bagaimanapun, PDRM merekodkan, kerugian besar adalah di kalangan mangsa berusia 51 hingga 60 tahun dengan nilai RM141.8 juta.

Pada tahun lalu, kumpulan termuda iaitu dalam kalangan usia 15 hingga 20 tahun turut menjadi mangsa sindiket dengan kerugian RM3.3 juta, diikuti kumpulan usia 21-30 tahun, seramai 996 orang (RM32.5 juta).

Seramai 1,138 mangsa daripada kumpulan usia 41-50 (RM88 juta) dan 737 orang bagi kategorI lebih 61 tahun (RM135.5 juta).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini