comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lebih RM3 juta minuman keras, rokok tanpa cukai dirampas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai berjaya dibongkar dalam satu serbuan di Bintulu, Sarawak pada Selasa lalu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dalam operasi itu, pelbagai jenama minuman keras dan rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta dirampas.

Menurut MCBA, operasi diselaraskan agensi terbabit yang diketuai oleh Biro Siasatan Jenayah Hidupan Liar, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak.

“Selain itu, pihak berkuasa turut menyita dua kenderaan yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Enam individu lelaki warga asing terdiri daripada empat warga Indonesia dan dua warga India ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas lanjut, jelas MCBA, operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

“MCBA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JKDNKA komited untuk terus bekerjasama dalam memerangi jenayah dan memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini