comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lebur hampir RM90,000 terpedaya iklan kerja sambilan

KUANTAN: Seorang wanita kerugian RM87,406 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 23 tahun dari Raub dan tidak bekerja itu melihat iklan kerja sambilan di aplikasi Xiahongshu pada 15 Februari lalu.

Katanya, selepas berbincang secara dalam talian bersama suspek, mangsa berminat dengan tawaran kerja itu.

“Kerja itu memerlukan mangsa menaikkan rating aplikasi permainan video di laman sesawang daveyjonesshop.com.

“Mangsa ditawarkan satu peratus keuntungan untuk setiap tugasan yang dilaksanakan.

“Mangsa kemudiannya membuat dua tugasan yang diberikan oleh suspek dan mendapat keuntungan sebanyak RM295.54.

“Dengan keuntungan itu, mangsa mula percaya dan membuat sembilan pindahan wang ketiga akaun bank yang berlainan dengan meminjam wang daripada teman lelakinya berjumlah RM87,406.81.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, Ramli menasihati dan menegaskan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, masyarakat perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat yang ditawarkan.

“Selain itu diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Loading...
Terkini