comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki campak helaian Al-Quran ditahan polis

FOTO: Ihsan PDRM

JEMPOL: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas didapati mencampak helaian al-Quran di tepi Jalan Besar FELDA Palong, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, polis menerima tiga laporan kejadian yang dibuat orang awam.

Katanya, pengadu yang membuat aduan melihat seorang lelaki menaiki motosikal melempar helaian dan cebisan Al-Quran yang telah dikoyakkan di tepi jalan.

“Polis juga menerima aduan orang yang menjumpai helaian dan senaskah Al-Quran di jalan sama.

“Susulan itu polis menjalankan siasatan dan menangkap seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan awal mendapati, suspek mengaku melakukan kejadian itu.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Polis membuat permohonan reman ke atas suspek hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A/427 Kanun Keseksaan.

Pihaknya mengingatkan orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video serta gambar kejadian di media sosial.

Loading...
Terkini