comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki cedera parah ditetak akibat dendam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dendam lama menjadi punca seorang lelaki cedera parah ditetak di sebuah rumah di Pandan Perdana, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori parah di pergelangan tangan dan belakang badan selepas ditetak dengan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian diketahui isteri mangsa kira-kira jam 4.15 petang menerusi mesej WhatsApp yang dihantar suaminya.

“Siasatan awal mendapati mangsa ke rumah terbabit yang pernah dihuninya bersama keluarga sebelum ini bagi tujuan mengambil surat.

“Ketika di rumah itu, seorang lelaki datang menyerang dan menetak mangsa menggunakan senjata tajam. Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang pengutip sampah berusia 28 tahun kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam di Taman Setapak Jaya di sini.

“Polis turut merampas sehelai baju serta sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Soal siasat ke atas suspek mendapati kejadian dipercayai bermotifkan dendam kerana mangsa dan beberapa rakannya didakwa pernah memukul suspek sebelum ini.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau kesalahan jenayah, manakala ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ganja,” katanya.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.

Loading...
Terkini