JEMPOL: Berang isteri berleter kerana tidak bekerja, seorang lelaki didakwa memukul wanita berkenaan sehingga cedera di rumah mereka di Mahsan, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa sebelum itu menegur suaminya berusia 36 tahun kerana didakwa sering mabuk, menganggur dan tidak membantu mengurus rumah.
Katanya, berang dengan teguran itu, suspek mengambil bongkah kayu ukiran gajah di ruang tamu rumah dan memukul belakang kepala isterinya sebanyak dua kali.
“Anak lelaki pasangan itu melihat kejadian berkenaan dan menghalang suspek terus memukul mangsa. Wanita berkenaan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Jempol,” katanya hari ini.
Chang Hook berkata, polis yang menerima laporan kejadian itu berjaya menahan mangsa yang kemudian direman tiga hari sehingga esok.
“Siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek dijangka dituduh Mahkamah Majistret Bahau, esok,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.