SEGAMAT: Polis menahan seorang lelaki berusia 30an selepas disyaki menjadi anggota kumpulan kongsi gelap di daerah ini, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata suspek ditahan pada jam 4 petang di Batu Anam, selepas dikesan memiliki tatu pada badan disyaki lambang kumpulan kongsi gelap.
“Kami menemui beberapa tatu dicacah antaranya pada atas belakang badan dengan lambang kumpulan kongsi gelap,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ng Swie Chait dan Pegawai Penyiasat Kanan (SIO), Asisten Superintendan Nurul Zuriana Barik.
Ahmad Zamry berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kegiatan jenayah suspek.
“Mana-mana pihak didapati menjalankan sebarang aktiviti pertubuhan- pertubuhan kongsi gelap yang disenarai, akan disiasat dan didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 355.
“Sebagai contoh Seksyen 6(2) dan 6(3), Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.