
PUTRAJAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas dikesan menggunakan lencana kolar milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada baju pengawal peribadi miliknya.
Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Jalan Kip Sentral, Kota Warisan pada jam 5.10 petang, Ahad lalu.
Menurutnya, lelaki itu ditahan dalam pemeriksaan dilakukan oleh anggota polis peronda Sepang.
“Ketika ditahan, lelaki terbabit menaiki kereta Proton Gen2. Lelaki itu ditahan selepas gagal memberi penjelasan berhubung lencana PDRM dimiliki,” katanya.
Shan berkata, lelaki terbabit dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang Rabu lalu dan dituduh mengikut Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, lelaki terbabit juga mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Lelaki itu mengaku bersalah serta membayar sejumlah denda,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.