Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan, tembak pekerja pembersihan guna senjata tiruan

FOTO: IPD Kota Kinabalu

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menembak pekerja pembersihan menggunakan senapang tiruan sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah taman perumahan di Luyang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, lelaki terbabit dikatakan menembak mangsa berusia 23 tahun yang sedang berehat bersama rakan di luar perkarangan rumah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya sedang berehat daripada kerja momotong rumput.

Katanya, mangsa tiba-tiba mendakwa berasa sakit di bahagian lengan kanan dan berlaku pendarahan.

“Mangsa mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi tembakan memandangkan semasa kejadian bunyi persekitaran bising dengan mesin rumput.

“Akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan luka di lengan dan badan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis sudah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dan merampas beberapa senjata tiruan termasuk tiga bilah kerambit buatan sendiri di bilik suspek.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini