comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditemui kaku dengan 4 kesan tembakan di kepala

KUALA LANGAT: Seorang lelaki warga tempatan ditemui maut dengan empat kesan tembakan di bahagian kepala dalam kejadian berdekatan Balai Polis Sungai Jarom, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata dalam kejadian pada jam 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 39 tahun ditemui anggota sukarelawan polis yang sedang bertugas sentri di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, anggota sukarelawan itu mendengar beberapa letupan kuat dan terus menuju ke kawasan kejadian sebelum menemui mangsa terbaring kaku di bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat empat kesan tembakan di bahagian kepala.

“Petugas Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang yang hadir mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata, Unit Forensik Kontinjen Selangor yang hadir ke lokasi menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian.

Katanya, siasatan polis turut mendapati mangsa mempunyai 13 rekod lampau pelbagai kesalahan.

 

“Pihak polis sedang giat mengesan suspek dan menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di 03-31872222,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini