comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki Indonesia ditahan, cuba seludup lebih 4kg syabu dalam bungkusan serbuk pencuci

Foto; NSTP

TAWAU: Seorang lelaki ditahan di Jeti Awam Lama, Jalan Pelabuhan, dekat sini, kelmarin selepas cuba menyeludup keluar lebih empat kilogram (kg) syabu yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek warga Indonesia berusia 25 tahun, yang membawa empat guni dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika cuba menaiki bot di jeti berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan awal empat guni yang dibawa suspek, menemui empat bungkus serbuk pencuci yang diletakkan di dalam tong plastik.

“Hasil pemeriksaan rapi, pihak polis menjumpai enam paket plastik yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 4.572kg dianggarkan bernilai RM274,320 diletakkan di dalam bungkusan sabun terbabit.

“Cubaan ini antara modus operandi terbaru digunakan sindiket penyeludupan dadah selepas beberapa siri percubaan dan pelbagai helah berbeza termasuk menggunakan tong drum, bungkusan teh Cina, bungkusan durian dan tin minuman berjaya ditumpaskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, pagi ini.

Jasmin berkata, suspek yang juga seorang buruh ladang di daerah Kinabatangan itu dipercayai membawa dadah berkenaan menggunakan jalan darat sebelum menaiki bot di sini, untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Katanya, hasil semakan dan saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati, dia negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah selain tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Jun depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini