Tumpuan :
Jenayah

Lelaki Indonesia lolos dari tahanan, ditangkap ketika bersembunyi di kebun durian

Suspek akan direman di mahkamah Alor Gajah. FOTO Ihsan PDRM

ALOR GAJAH: Lelaki warga Indonesia yang melarikan diri ketika berada di Kompleks Mahkamah Alor Gajah di sini, Isnin lalu, berjaya ditangkap semula di kebun durian di Taman Melaka Pindah, di sini, petang semalam.

Suspek berusia 38 tahun yang juga Orang Kena Tuduh (OKT) bersabit kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 diberkas dalam keadaan tangan tidak bergari, 6.10 petang ketika bersembunyi di kebun berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Nawawi berkata, suspek diberkas menerusi Op Kesan yang dilancarkan sejurus menerima laporan dibuat pegawai kastam pada Isnin lalu.

Menurutnya, seramai 23 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah terbabit operasi, dengan dibantu 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka (37) serta anjing pengesan.

“Ketika serbuan, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri, namun berjaya ditangkap dengan keadaan tangan yang tidak bergari.

“Suspek bagaimanapun enggan memberikan kerjasama sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan dia cedera.

“Kita juga percaya suspek bergerak sendiri dan tidak mendapat bantuan daripada mana-mana individu ketika melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Zawawi berkata, suspek akan direman di mahkamah Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah.

Media pada Isnin melaporkan suspek meloloskan diri dalam keadaan tangan bergari di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini