comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki Rogol, Seks Luar Tabii Anak Kandung Dalam Lori, Tak Dibenarkan Ikat Jamin

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga tuduhan kerana merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan anak kandung perempuannya berusia 23 tahun.

Bagaimanapun, lelaki berusia 55 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan berkenaan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, kesalahan terbabit dilakukan di tempat duduk belakang lori, di Sungai Besi, di sini, antara jam 2.30 hingga 3.30 petang, pada 18 September lalu.

Hukuman kesalahan merogol mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun, selain dikenakan minimum 10 sebatan.

Kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii pula di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, selain boleh disebat.

Mencabul kehormatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub, tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

“Tertuduh dikatakan tinggal bersama isteri kedua (bukan ibu mangsa). Namun, jika jaminan diberikan, ada risiko tertuduh akan mendekati mangsa kerana tempat tinggal mereka di kawasan sama iaitu Kuala Lumpur.

“Dalam pertuduhan hari ini, ada kesalahan merogol anak kandung dan untuk keselamatan mangsa, jaminan tidak ditawarkan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Mona Anak Leonard Lubon, memohon jaminan diberikan atas alasan anak guam tiada potensi melarikan diri dan memberi kerjasama penuh sejak ditahan polis pada Sabtu lalu.

“Anak guam juga berjanji tidak akan mengganggu mangsa, walaupun anak kandung. Tertuduh juga setuju jika ada syarat lain dikenakan seperti melaporkan diri di balai polis, setiap bulan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tiada jaminan ditawarkan dan sebutan kes seterusnya pada 21 Oktober ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini