comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki rugi RM520,000, diperdaya ‘inspektor polis’

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta kerugian RM520,000 selepas mendakwa ditipu seorang pegawai polis bernama ‘Inspektor Lee Kha Seng’.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun, semalam, berhubung penyamaran dalam talian itu.

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenal diri sebagai polis dari kontinjen di utara Malaysia, pada awal Mei lalu.

“Individu itu memberitahu kad ATM mangsa ditemui dalam satu serbuan polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam penggubahan wang haram.

“Talian kemudian disambungkan kepada sorang individu lain yang mendakwa dirinya pegawai polis bernama ‘Inspektor Lee Kha Seng’ yang menawarkan bantuan bagi mengelakkan akaun mangsa disekat dan wangnya disita.

“Caranya dengan memindahkan wang mangsa ke dalam sebuah akaun bank yang diarahkan, sementara polis menjalankan siasatan,” katanya hari ini.

Kumar berkata, mangsa percaya panggilan itu daripada polis kerana nama dan nombor kad pengenalannya yang dibacakan inspektor berkenaan memang betul.

Katanya, mangsa turut menerima surat melalui aplikasi WhatsApp dengan kepala surat mahkamah yang menyatakan tindakan penyiasatan, penangkapan dan pembekuan aset akan diambil terhadap mangsa.

“Mangsa kemudian bertindak memindahkan wang sebanyak RM520,000 seperti diarahkan sebelum menyedari dirinya ditipu, selepas terus didesak untuk membuat lagi pemindahan wang.

“Mangsa terus membuat laporan polis, semalam,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Kumar, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan membabitkan transaksi kewangan.

“Gunakan perkhidmatan Semak Mule yang disediakan secara dalam talian dan muat turun aplikasi ‘Whoscall’ bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek, sebelum meneruskan dengan sesuatu transaksi pembayaran sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

“Maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial pula boleh diperoleh menerusi pelbagai platform media sosial rasmi polis Johor seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

“Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” jelasnya.’

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini