comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki warga asing diliwat kenalan gimnasium

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing mendakwa diliwat seorang lelaki warga tempatan yang dikenalinya di gimnasium sebuah kondominium di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang pada 4 Julai lalu itu selepas suspek mengajak mangsa yang dikenali pada Mac lalu ke unit kediamannya di kondominium sama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata pengadu berusia 25 tahun itu membuat laporan pada jam 9.57 malam tadi.

“Dalam kejadian itu, suspek yang bertemu pengadu di koridor kondominium berkenaan pada Khamis lalu mengajak mangsa ke rumahnya untuk berbual-bual.

“Sebaik tiba di rumah, suspek bertindak membuka pakaian mangsa dan menyentuh anggota badannya.

“Pengadu tidak mahu menjerit kerana tidak mahu jiran sekitar mendengar atau melihat kejadian yang boleh memalukan dirinya. Suspek turut meliwat pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati, terdapat kesan koyakan di dubur.

“Mangsa dibenarkan pulang selepas rawatan selesai dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” katanya.

Shahrulnizam berkata, orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam pergaulan bagi mengelakkan diri terbabit seperti kejadian yang sama.

Orang ramai dan saksi kejadian ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini