TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dia mengamuk bersenjatakan parang panjang di sebuah rumah di Kampung Melati Burut, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 29 tahun itu ditahan di kediamannya di Kampung Sungai Imam, jam 4.20 petang.
Berdasarkan laporan suspek yang dikenali sebagai Bicul dikatakan datang ke rumah pengadu dengan memegang sebilah parang sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Bapa pengadu kemudiannya bertindak mengambil sebatang kayu dan mengarahkan suspek supaya beredar dari kawasan rumah mereka.
“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain tiada rekod jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.