JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan terbaring dengan kira-kira 16 kesan tikaman dalam sebuah rumah kedai berhampiran Taman Abad di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Lim Jit Huey berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu yang dibuat jam 7.25 malam.
“Siasatan awal daripada laporan polis dibuat orang awam itu, mangsa adalah seorang lelaki warga asing berusia 50 tahun.
“Dia ditemui dalam keadaan terbaring dan terdapat kira-kira 16 kesan luka kecederaan akibat tikaman,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, polis kini giat mengesan suspek dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi hotline IPD JBS di talian 07-2182323.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.