JOHOR BAHRU: Akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi, seorang warga emas kerugian RM500,000.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat lelaki berusia 84 tahun itu semalam, selepas mangsa menyedari dirinya ditipu.
Beliau berkata, mangsa mendakwa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan pada Oktober tahun lalu dan berurusan dengan seorang individu bernama Dong Yuan.
“Individu itu memperkenalkan dan memberikan penerangan kepada mangsa mengenai pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi sehingga 100 peratus.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan memuat turun aplikasi Digzaxxce bagi memantau keuntungan terbabit dan melakukan 12 transaksi pembayaran melalui cek ke dua akaun berbeza yang diberikan.
“Transaksi dibuat bermula 6 Januari lalu hingga Rabu lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM500,000,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, mangsa kemudian menyedari dirinya telah ditipu apabila akauntan mangsa memberitahu pelaburan itu tidak benar selepas diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mengeluarkan wang keuntungan yang tinggi dalam dolar Amerika Syarikat.
Mangsa mendakwa, jika dia enggan membuat bayaran tambahan keuntungan diperolehi akan dibekukan.
Balveer berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan siasatan juga akan melihat kepada pembabitan keldai akaun.
“Jika ada (keldai akaun), tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih cakna dengan trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.
Katanya, masyarakat juga dinasihati supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.