comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lesen ‘gerenti lulus’: dua pembantu penguat kuasa ditahan SPRM

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan dua suspek yang merupakan pembantu penguat kuasa kanan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki menerima wang rasuah bagi urusan permohonan lesen kenderaan gerenti lulus.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor, hari ini.

Penahanan suspek berkenaan adalah susulan penahanan dua suspek sebelum ini membabitkan seorang wanita yang juga pekerja sambilan dan seorang pengajar lelaki di sebuah sekolah memandu kerana disyaki meminta wang daripada calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapatkan lesen ‘gerenti lulus’.

Tambah sumber, suspek-suspek tersebut masing-masing dipercayai menerima wang tunai berjumlah RM1,750 dan RM750 bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan suspek-suspek tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman.

Loading...
Terkini