comscore
Tumpuan :
Jenayah

Longgokan 50kg dadah ditemui di pagar sempadan Malaysia-Thailand

Foto NSTP – Shokri (tengah) menunjukkan ketulan mampat dadah jenis ganja yang berjaya dirampas selepas pihaknya menjumpai dua guni putih yang dilonggokkan di kawasan laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar.

PADANG BESAR: Kewujudan dua guni berwarna putih yang dilonggokkan di atas tanah di laluan keselamatan berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, semalam menimbulkan curiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di kawasan itu.

Apabila diselidiki, ia membongkar penemuan 50 ketulan mampat disyaki ganja bernilai RM125,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar 5.30 pagi ketika anggota PGA dari Batalion 3 Briged Utara sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu.

“Ketika rondaan dilakukan, anggota PGA yang bertugas menjumpai dua guni berwarna putih yang ternampak seperti baru sahaja dilonggokkan di atas tanah di kawasan laluan keselamatan itu.

“Apabila diperiksa, kita menjumpai 50 ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan kertas putih yang disyaki dadah ganja dengan berat 50 kilogram (kg) dan pemerhatian dilakukan selama lebih kurang dua jam disekitar tempat kejadian selepas itu bagaimanapun mendapati tiada sebarang pergerakan menuntut barangan dalam guni itu berlaku,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya bahawa bekalan ganja berkenaan cuba diseludup ke negara ini oleh anggota sindiket dengan memotong pagar sempadan Malaysia-Thailand di kawasan itu.

“Kita melihat pagar sempadan yang terletak hanya satu kilometer dari lokasi penemuan ganja itu sudah dipotong dan ia adalah lokasi ‘hotpsot’ penyeludupan dadah ke negara ini dimana kita percaya anggota sindiket ini kemudian memikulnya sebelum mencampakkan di kawasan berkenaan disebabkan ternampak anggota PGA sedang meronda di kawasan itu.

“Anggota sindiket ini juga dipercayai keluar semula ke Thailand melalui pagar yang dipotong itu sebelum sempat meletakkan bekalan ganja itu ke kenderaan transit yang kita percaya akan datang menuntut bekalan ganja itu nanti,” katanya.

Beliau berkata, setiap ketulan ganja mampat itu mempunyai berat sebanyak satu kilogram dengan harga pasaran dianggarkan sekitar RM2,500.

“Bekalan ganja yang dirampas ini mampu digunakan oleh 100,000 penagih dadah di negara ini dan kita percaya ia adalah untuk pasaran tempatan,” katanya.

Rampasan ganja berkenaan juga adalah kejayaan terbesar IPD Padang Besar membabitkan dadah jenis ganja.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan dadah disyaki ganja tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa jenis dan berat dadah.

“Kita memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang terbabit dalam penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah akan diambil tindakan tegas dibawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini